AGENDASUKANKINI

FAM: 99 peratus pasukan Liga-M selesai penswastaan, baki dalam proses

SEREMBAN, 1 OKT: Sebanyak 99 peratus atau 19 pasukan lengkap proses penswastaan Liga Malaysia (Liga-M) yang berakhir semalam, melibatkan pemisahan daripada persatuan bola sepak negeri (FA) kepada kelab bola sepak (FC).

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Mohd Firdaus Mohamed berkata, terdapat baki dua pasukan iaitu UKM FC dan Felda United FC, yang masih dalam proses penelitian dokumen.

“Antara masalahnya ialah seperti Felda United, mereka tidak mendapat kebenaran daripada Lembaga Pengarah Felda, kerana mereka menggunakan nama Felda dan bukannya kebenaran daripada pengurusan pasukan Felda. Itu yang sedang kita tunggu,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan kewangan dan pengumuman Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) di sini, semalam.

Mohd Firdaus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional berkata, keputusan mengenai perkara itu akan diketahui dalam masa terdekat, di mana sekiranya gagal diswastakan, pasukan berkenaan akan diturunkan ke Liga M3 Malaysia.

“Melalui penswastaan, pasukan akan mampu diperkasakan dan objektifnya adalah untuk elak isu seperti tidak bayar gaji dan tidak mencarum KWSP (Kumpulan Simpanan Wang Pekerja). Kita buat pemisahan dan dengan itu kita pastikan ada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang bertanggungjawab kepada pasukan dan pentadbiran.

“Melalui FC, tanggungjawab besar bukan sahaja kepada pemegang saham, tetapi juga pengarah yang dilantik oleh pemegang saham. Sekiranya ada isu, contohnya kegagalan bayaran gaji dan KWSP, kita akan cari pengarah dan selepas itu pemegang saham,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :