Pemain Selangor, Ifedayo Olusegun Patrick Omosyi (kanan) mengawal bola sambil diasak pertahanan PDRM pada aksi perlawanan CIMB Liga Super Malaysia 2020 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 3 Okt 2020. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Feichtenbeiner gembira aksi Red Giants ‘belasah’ PDRM

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Pengendali sementara pasukan Selangor Michael Feichtenbeiner sangat gembira dengan prestasi pemainnya yang mencatat kemenangan besar 7-0 ke atas pasukan tercorot Liga Super, PDRM di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Jurulatih kelahiran Jerman berusia 60 tahun itu berkata kemenangan kali kedua pasukan di bawah bimbingannya sudah tentu akan meningkatkan semangat pemain skuad The Red Giants untuk perlawanan terakhir mereka menentang Felda United FC di Stadium UiTM di Shah Alam pada 10 Okt.

“Mereka bermain dengan baik pada babak pertama, sama seperti minggu lepas dan kami menjaringkan beberapa gol yang baik dalam babak pertama.

“Hanya pada 15 minit selepas rehat, saya berasa tidak gembira dengan persembahan mereka tetapi selepas gol keempat, pemain berjaya mendapat rentak mereka semula. Kami mempunyai gaya bola sepak tersendiri,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih PDRM Mohamad Ishak Kunju Mohamad benar-benar kecewa dengan prestasi buruk barisan pemainnya yang melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan itu.

“Saya menerima kekalahan ini dengan hati terbuka tetapi satu-satunya perkara yang membuat saya kecewa adalah bila mereka melepaskan tiga hingga empat gol mudah pasukan lawan.

“Sekiranya kami berjaya mengelakkan kesilapan ini, saya tidak fikir pasukan kami akan berasa malu dengan kekalahan ini. Lima belas minit pertama kami bermain dengan baik tetapi selepas kami gagal menyekat gol pertama, kesalahan yang sama terus berulang,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Ishak berkata beliau kini mahu meraih tiga mata menentang Petaling Jaya City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya pada 10 Okt ini untuk menyelamatkan maruah pasukan yang masih gagal mengumpulkan sebarang mata selepas 10 perlawanan.

Kejayaan skuad The Red Giants itu membolehkan mereka melonjak ke kedudukan kelima carta Liga Super dengan 14 mata selepas meraih tiga kemenangan, lima seri dan dua kekalahan dalam 10 perlawanan.

Pada aksi tersebut, Selangor mendahului 3-0 pada babak pertama dengan gol hasil Ifedayo Olusegun Omosuyi pada minit ke-19 serta dua gol jaringan Sean Selvaraj masing-masing pada minit ke-26 dan 33.

Pada babak kedua, The Red Giants menambah empat lagi gol menerusi Brendan Gan pada minit ke-69, Ifedayo (’74), Muhammad Safuwan Baharudin (’80) serta pemain import Sepanyol, Rufino Segovia (’83).

-BERNAMA


Pengarang :