Beberapa buah kenderaan meredah jalan raya yang dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar di Jalan Pasir Penambang, Kuala Selangor pada 18 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Fenomena air pasang: 12 rumah di Kuala Selangor dinaiki air

SHAH ALAM, 18 OKT: Air pasang besar setinggi 5.8 meter pagi tadi menyebabkan 12 rumah di Kuala Selangor dinaiki air separas betis, kata Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor.

Pegawai operasinya berkata lima rumah terkesan di Kampung Sungai Janggut, tiga di Bagan Sungai Janggut dan empat di Jalan Yunos, Sungai Sembilang.

“Bagaimanapun semua mangsa tidak dipindahkan kerana air mulai surut namun kita tetap menyediakan pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa.

“Bagi mengepam keluar air itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengaktifkan pam di kawasan terjejas,” kata Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir kepada SelangorKini hari ini.

Beliau menambah kawasan persisir pantai daerah Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang masih terkawal walaupun berlaku limpahan.

“JKR (Jabatan Kerja Raya) dengan JPS akan membaiki ban terjejas serta menambah baik kerja naik taraf jalan bagi memastikan aliran air lancar.

“Hanya ban di Kampung Nelayan, Pelabuhan Klang mengalami runtuhan kecil dan akan dibaiki segera,” katanya.

Bermula semalam hingga esok, air pasang dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam antara jam 6 hingga 7.30 pagi.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.


Pengarang :