Deretan kenderaan yang tersangkut daripada meneruskan perjalanan berikutan fenomena air pasang besar menyebabkan jalan raya dinaiki air di Jalan Pasir Penambang, Kuala Selangor pada 18 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Fenomena air pasang: Kali pertama melimpah masuk rumah sejak 20 tahun

SHAH ALAM, 18 OKT: Penduduk perkampungan nelayan Jalan Bagan Hailam, Pelabuhan Utara menyifatkan limpahan air pasang pagi tadi ke dalam rumah sebagai pengalaman pertama sejak 20 tahun lalu.

Siau Heng Fook, 45, berkata kawasan berkenaan sering dinaiki air ketika fenomena itu namun tidak pernah masuk ke dalam rumah, lapor Berita Harian.

“Nasib kami sempat mengemas barangan serta peralatan rumah ke tempat lebih tinggi. Semalam kawasan ini juga dinaiki air kerana terletak berdekatan dengan laut,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Mariam Halim, 37, berkata dia menyedari air mulai naik sekitar jam 6.45 pagi tadi.

“Saya dimaklumkan air pasang hari ini lebih tinggi berbanding semalam tetapi saya fikir tak serius kerana cuaca baik dan tak hujan. Saya tetap pindahkan peti sejuk dan mesin basuh ke tempat tinggi,” katanya.

Air pasang besar pagi ini merekodkan paras tertinggi iaitu 5.8 meter berbanding 5.7 meter semalam.

Hingga esok, air pasang dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam antara jam 6 hingga 7.30 pagi.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.


Pengarang :