EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Tuan Hee Loy Sian meninjau kakitangan Luas mengambil contoh air Sungai Semenyih selepas sidang media berkenaan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan henti tugas LRA Semenyih dan Bukit Tampoi, Dengkil pada 5 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ganjaran RM20,000 pemberi maklumat sungai tercemar

SHAH ALAM, 21 OKT: Kerajaan Negeri menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada pemberi maklumat berkaitan dalang yang melakukan pencemaran sungai.

Dato’ Menteri Besar berkata ganjaran tersebut diberi jika bukti dikemukakan membawa kepada penangkapan penjenayah alam sekitar serta disabitkan kesalahan di mahkamah.

“Pihak berkuasa tidak mungkin dapat memantau keadaan di sepanjang lembangan sungai pada setiap masa atau tempat, jadi kita memerlukan kerjasama masyarakat untuk salur maklumat.

“Kerajaan Negeri berharap inisiatif ini dapat menarik kerjasama semua pihak untuk bersama-sama mengatasi isu pencemaran sungai,” kata Dato Seri Amirudin Shari pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Berhubung dakwaan pencemaran sungai yang kerap berlaku di Selangor kebelakangan ini, beliau berkata Kerajaan Negeri menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut.

Isnin lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2,3 dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran bau.

Susulan itu lebih 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :