Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melawat Loji Rawatan Air Sungai Semenyih pada 4 Oktober 2020 bagi meninjau situasi pencemaran yang berlaku. Foto Facebook AMIRUDIN SHARI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Guna air tasik tampung bekalan akibat loji henti tugas

SHAH ALAM, 4 OKT: Kerajaan Negeri bercadang mengambil air Tasik Putrajaya bagi menampung bekalan susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata berdasarkan penilaian awal, bekalan sumber air tersebut mampu menampung keperluan sekurang-kurangnya tujuh hari.

“Kita pernah kemukakan cadangan ini jika berlaku pencemaran sungai, malahan telah buat hitung kira mampu bertahan lebih kurang tujuh hari.

“Dengan komitmen diberi menteri (Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man) kita akan dapat atasi atau menampan masalah ini,” katanya pada sidang media tadi.

Berhubung kos mengambil air tasik, Amirudin berkata Selangor akan berbincang dengan Kerajaan Pusat sekiranya ada kesepakatan kerana pencemaran sungai turut beri kesan kepada kawasan Putrajaya.

Sebanyak 274 kawasan membabitkan 309,687 akaun pengguna di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas dua Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata langkah tersebut susulan pencemaran Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.


Pengarang :