Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memberikan maklum balas dalam sidang media berhubung isu pencemaran bau Sungai Selangor di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 21 Oktober 2020. Turut hadir, EXCO Alam Sekitar & Teknologi Hijau Hee Loy Sian serta Infrastruktur & Kemudahan Awam Ir Izham Hashim. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Guna dron mulai November, terbang 1,000km pantau sungai

SHAH ALAM, 21 OKT: Teknologi dron bakal digunakan untuk memantau pencemaran dan pencerobohan sungai di Selangor bermula November, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata teknologi tersebut mampu terbang sejauh lebih 1,000 kilometer sebulan selain dilengkapi aplikasi untuk menganalisis kualiti air serta mencerap aktiviti kilang yang berisiko menyebabkan pencemaran.

“Kos untuk menggunakan dron adalah RM138 sehari dan akan terbang dua kali sehari. Kemudiannya, pasukan pengendali akan melakukan analisa serta menilai keadaan semasa Sungai Langat dan Sungai Selangor.

“Sekiranya mengesan keadaan mencurigakan, mereka akan menyampaikan maklumat kepada Kerajaan Negeri bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Amirudin berkata syarikat yang membekalkan teknologi tersebut kini pada kedudukan enam terbaik dunia dalam perkhidmatan menganalisa dan menilai kualiti air.

“Syarikat pembekal dron ini memiliki pengalaman serta kemampuan terbukti di peringkat dunia dengan menyediakan perkhidmatan untuk anak syarikat Kerajaan Negeri, anak syarikat Kerajaan Persekutuan sehinggalah di Eropah,” katanya.


Pengarang :