Pelajar menjalani pemeriksaan suhu badan dan sanitasi tangan di depan pintu sekolah sebagai satu tatacara operasi piawai (SOP) di SMK Jenjarom, Kuala Langat pada 24 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Guru positif Covid-19, tiada penutupan sekolah di Selangor

SHAH ALAM, 5 OKT: Sesi persekolahan di Selangor berjalan seperti biasa walaupun terdapat laporan kes Covid-19 melibatkan sebuah sekolah rendah di Ampang, dekat sini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berkata tindakan menutup sekolah tertakluk kepada prosedur tertentu antaranya perlu mendapat nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang memantau penularan wabak tersebut.

“Berhubung kes positif melibat seorang guru di sekolah tersebut, senarai kontak rapat telah diberikan kepada PKD untuk proses saringan Covid-19.

“Selain itu pihak sekolah dengan dibantu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut melakukan sanitasi pagi tadi dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa,” kata Izmi Ismail kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata pihaknya mengarahkan pentadbir sekolah mengetatkan tatacara operasi piawai (SOP) selain pegawai JPN kerap turun padang untuk memantau tahap pematuhan guru dan murid.

“Kita memahami kebimbangan ibu bapa berhubung peningkatan kes Covid-19, namun ingin ditekankan setakat ini tiada kes penularan disebabkan pelanggaran SOP di sekolah,” katanya.

Hari ini tular seorang guru di Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang dikesan positif Covid-19.

Pada 28 September dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandamaran Jaya, Klang disahkan positif Covid-19 selepas dijangkiti daripada keluarga yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.


Pengarang :