AGENSISELANGOR

Hampir semua cawangan LZS beroperasi ketika PKPB

SHAH ALAM, 14 OKT: Dua puluh dua cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) beroperasi seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hari ini.

Agensi itu dalam kenyataan berkata cawangan yang ditutup ialah Kompleks Majlis Agama Islam Selangor, Klang dan Klang Sentral berikutan kedua-duanya berada dalam zon merah.

“Orang ramai yang hadir wajib mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) iaitu memakai pelitup muka, menyukat suhu badan, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengimbas kod QR MySejahtera.

“Selain itu, kebersihan premis LZS akan turut dipantau dan dipastikan berada pada tahap optimum dengan mengadakan proses nyah kuman secara berkala,” katanya dalam kenyataan.

LZS turut memaklumkan waktu operasi kesemua cawangannya bermula jam 9 pagi hingga 3.30 petang, manakala bagi cawangan UTC Shah Alam dari jam 8 pagi hingga 7 malam.

“Masyarakat juga digalak memilih transaksi dalam talian sebagai alternatif urusan zakat,” kata agensi itu lagi.

Bagi semakan bantuan dan cetakan penyata, layari ezo.zakatselangor.com.my, manakala untuk bayaran melalui pautan fpx.zakatselangor.com.my. Pengguna juga boleh hubungi talian 1-300-88 -4343 untuk pertanyaan lanjut.

PKPB dilaksana di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai hari ini hingga 27 Oktober bagi mencegah penularan Covid-19.


Pengarang :