Empat pelajar kelas tahun enam di Sekolah Kebangsaan Buit Hill Penampang, Sabah tetap meneruskan pelajaran meskipun hanya sedikit yang hadir di sekolah itu pada 5 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hanya sekolah di zon merah ditutup

SHAH ALAM, 6 OKT: Hanya sekolah di kawasan zon merah yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19 akan ditutup, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kawasan tersebut ialah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau,
Lahad Datu, Kunak dan Semporna di Sabah.

“Saya tahu ramai ibu bapa bimbang mengenai anak-anak yang hadir ke sekolah. Setakat ini kerajaan memutuskan untuk menutup sekolah di kawasan zon merah.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memantau keadaan kes Covid-19 dan jika ada kes membabitkan warga sekolah, KPM akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menanganinya,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Muhyiddin berkata keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara akan dibuat di peringkat Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 sekiranya perlu.

Semalam, KPM memutuskan sebanyak 122 sekolah harian terdiri daripada 86 sekolah rendah, 25 sekolah menengah dan 11 sekolah swasta di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan di Sabah ditutup mulai hari ini.

Langkah itu susulan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah terbabit berkuat kuasa 12.01 tengah malam 7 Oktober.


Pengarang :