Pelitup muka diwajibkan di tempat awam bagi menangani penularan Covid-19. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Harga siling 70 sen pelitup muka berkuat kuasa Ahad

SHAH ALAM, 27 OKT: Harga siling runcit bagi pelitup muka tiga lapisan diturunkan kepada 70 sen daripada RM1 sekeping, berkuat kuasa Ahad ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata harga di peringkat borong pula diturunkan kepada 65 sen daripada 95 sen sekeping.

Sementara itu, harga runcit pelitup muka kategori N95 ialah RM6 dan borong RM5, bagi kategori satu lapis 7 sen (runcit) dan 5 sen (borong), bagi dua lapisan pula 20 sen (runcit) dan 16 sen (borong).

“Mengambil kira keperluan untuk rakyat terus mengamalkan norma baharu terutama penggunaan pelitup muka yang berterusan, KPDNHEP membuat kajian semula harga pelitup muka dengan melibatkan pengeluar tempatan dan pengimport.

“Harga baru ini akan dikuatkuasa melalui Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 bermula 1 November,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexander berkata, KPDNHEP telah menjalankan 67,217 pemeriksaan dan pemantauan harga serta bekalan bagi pelitup muka di seluruh negara sejak 29 Januari sehingga 25 Oktober lalu.

“Pemeriksaan tersebut berjaya menghasilkan sebanyak 73 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM 543,737.40 dan melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM518,400,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, KPDNHEP mewartakan harga maksimum pelitup muka tiga lapis iaitu 95 sen seunit bagi jualan borong manakala RM1 untuk harga runcit.


Pengarang :