Petugas Kesihatan Selcare mencatat maklumat peribadi orang awam sebelum membuat ujian saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Individu jalani saringan Covid-19 di klinik Selcare dijangka meningkat

SHAH ALAM, 4 OKT: Jumlah individu yang menjalani saringan Covid-19 secara percuma di tiga klinik Selcare dijangka meningkat tiga kali ganda dalam tempoh tiga hari, kata ketua pegawai eksekutif Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate).

Noor Hisham Mohd Ghouth berkata 55 rakyat Selangor yang baharu pulang dari Sabah melakukan ujian calitan di Shah Alam, Puchong (38) dan Putrajaya (21) bermula hari ini.

“Kita mula menerima tempahan melalui panggilan telefon sejak semalam lagi dan sambutan dijangka menggalakkan memandangkan kita tidak tahu jumlah sebenar individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

“Malah, kita dimaklumkan oleh Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) bahawa saringan ini ditawarkan kepada individu yang layak selain bermastautin di Selangor,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau turut menggesa individu berkaitan supaya memanfaatkan inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri demi memastikan keselamatan bersama serta mengekang penularan Covid-19.

“Pengumuman mengenai saringan ini mungkin terlalu singkat kerana dibuat pada dua hari lepas dan mungkin ada (individu) yang sempat menerima informasi ini atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, saya meminta sesiapa sahaja yang pergi ke Sabah antara 20 hingga 26 September dan merupakan rakyat Selangor agar menjalani saringan tajaan Kerajaan Negeri ini. Keputusan (saringan) akan diperoleh dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Kerajaan Negeri melakukan saringan bersasar secara percuma kepada rakyat Selangor membabitkan 16 klinik Selcare bermula hari ini sehingga 11 Oktober.

Individu yang mahu mendapatkan perkhidmatan itu perlu mengemukakan bukti pemastautin tetap di Selangor seperti kad pengenalan, bil air dan elektrik serta membuat janji temu sebelum ke klinik.


Pengarang :