Longgokan sampah dapat dilihat jelas terapung pada permukaan sungai yang dibuang oleh individu tidak bertanggungjawab ketika tinjauan di Sungai Batang Benar, Nilai pada 5 Oktober 2020. Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berkata kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai dikenal pasti sebagai lokasi utama punca pencemaran menyebabkan loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Industri risiko punca cemar air perlu disenarai dalam perundangan

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Industri yang berisiko menyebabkan pencemaran kepada sumber air mentah dan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) termasuk industri penternakan, perlu dikawal dan disenaraikan dalam perundangan.

Pakar Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air Ir Dr Zaki Zainudin berkata langkah ini dapat mengawal pembangunan di lembangan sungai dan mengelakkan pencemaran daripada terus berlaku.

“Pengurusan lembangan sungai sangat penting, mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Ini kerana pembangunan di lembangan sungai berlaku secara berterusan jadi akan sentiasa ada punca pencemaran yang baharu.

“Kalau kita dapat senaraikan industri yang berisiko dan menghalang mereka masuk ke kawasan (berdekatan sumber air mentah dan muka sauk LRA), ini merupakan satu langkah proaktif,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, semalam.

Mengambil contoh Akta Alam Sekeliling 1974, Zaki berkata terdapat seksyen dalam akta itu yang menyenaraikan aktiviti dibenarkan dengan syarat tertentu.

Katanya, ini susulan pencemaran yang berpunca daripada ladang ternakan tidak tersenarai dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, di bawah akta sama, bertujuan mengawal pelepasan sisa industri.

Pada Isnin, Bernama melaporkan Kementerian Alam Sekitar dan Air menyatakan sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik yang tersisa ditemukan di kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, iaitu punca pencemaran di sungai berkenaan.

Pencemaran itu menyebabkan dua loji rawatan air iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

-BERNAMA

 


Pengarang :