Ahli keluarga terdekat Nora Anne Quoirin di luar bilik forensik Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, 13 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Inkues Nora Anne ditangguh, saksi kontak rapat pesakit Covid-19

SEREMBAN, 19 OKT: Prosiding inkues bagi menentukan kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban terpaksa ditangguh selepas seorang saksi didapati merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Peguam kepada keluarga remaja itu, S Sakthyvell ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pemohonan penangguhan itu dibuat oleh pasukan pengendali inkues, pagi ini.

Beliau berkata bagaimanapun, prosiding itu akan diteruskan seperti biasa esok dengan saksi akan memberi keterangan menerusi aplikasi Zoom.

“Saya hanya mendapat pemakluman mengenai perkara itu pada 5.30 pagi tadi oleh penolong pendaftar mahkamah… tetapi dimaklumkan saksi berkenaan telah dikuarantin dan telah jalankan ujian calitan serta masih menunggu keputusan. Saksi itu yang kontak rapat dengan pesakit juga telah membuat satu mesyuarat dengan pihak pengendali inkues minggu lepas.

“Sekarang, kami sedang menunggu keputusan, kalau positif mungkin pihak pengendali terpaksa buat ujian calitan. Itulah alasan pihak pengendali kerana mereka juga baru tahu saksi merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 semalam,” katanya hari ini.

Beliau berkata mahkamah juga memaklumkan sebarang perkembangan prosiding akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Esok, seramai tiga saksi daripada Polis Diraja Malaysia akan memberi keterangan menerusi Zoom.

Prosiding inkues berkenaan berlangsung di hadapan Koroner Maimoonah Aid dan setakat ini, seramai 19 saksi telah dipanggil.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

-BERNAMA


Pengarang :