Pengawal Keselamatan Sekolah Kebangsaan Petaling Jaya Paramasivan Kupusamy, 58, memasang notis ‘Sekolah Ditutup’ susulan peningkatan kes Covid-19 di Daerah Petaling ketika tinjauan pada 12 Oktober 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Institusi pendidikan di Lembah Klang tutup sehingga 9 November

SHAH ALAM, 26 OKT: Penutupan institusi pendidikan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilanjut sehingga 9 November.

KPM berkata penutupan tersebut susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijadual berakhir esok diteruskan dua minggu lagi.

“Penutupan institusi pendidikan berkenaan termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Pentadbir sekolah serta institusi pendidikan diarah memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah manakala manualnya boleh dimuat turun di portal rasmi KPM, www.moe.gov.my,” katanya menerusi kenyataan.

PKPB dikuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19.

Hari ini Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan lanjutan PKPB di tiga kawasan itu selepas mengambil kira penilaian risiko penularan pandemik berkenaan.


Pengarang :