AGENDANASIONAL

Institusi perbankan sedia bantu pelanggan di kawasan PKPB, PKPD

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Institusi perbankan bersedia untuk membantu peminjam dan pelanggan yang berada di beberapa kawasan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana peningkatan kes pandemik Covid-19.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) berkata peminjam dan pelanggan di kawasan PKPB atau PKPD yang menghadapi kesukaran untuk membuat pembayaran pinjaman atau pembiayaan harus segera menghubungi bank mereka untuk meminta bantuan pembayaran balik.

“Bank-bank bersedia untuk memudahkan permohonan bantuan pembayaran balik untuk disesuaikan dengan keadaan kewangan para peminjam dan pelanggan. Mereka (pelanggan dan peminjam) dapat menghubungi bank mereka melalui e-mel atau telefon jika mereka tidak dapat melakukan pertemuan secara bersemuka kerana sekatan pergerakan,” kata ABM dan AIBIM dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam.

Untuk tujuan keselamatan, bank-bank yang terletak di kawasan PKPB akan beroperasi dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19, kata kenyataan itu.

“Peminjam dan pelanggan di kawasan yang terjejas ini dinasihati untuk memeriksa di laman web bank masing-masing untuk mendapatkan maklumat mengenai sebarang perubahan pada waktu operasi atau peraturan untuk perkhidmatan di kaunter.

“Mereka juga dapat terus melakukan urusan perbankan di semua terminal layan diri, seperti mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) yang terletak di kawasan PKPB,” katanya.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai bantuan pembayaran balik, orang ramai juga boleh menghubungi ABM Connect melalui laman web ABM di https://www.abm.org.my/eabmconnect atau AIBIM di 03-2026-8002 / 8003 atau melalui e-mel di [email protected].

“Peminjam atau pelanggan yang masih menghadapi kesukaran selepas berunding dengan bank mereka boleh menghubungi BNMTELELINK di [email protected] atau hubungi 1-300-88-5465 atau sebagai alternatif, peminjam atau pelanggan juga boleh mendapatkan panduan dan memilih pilihan lain bagi mendapatkan bantuan dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan menghubungi 03-2616-7766,” kata kenyataan itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam sidang akhbar semalam berkata seluruh Sabah akan berada di bawah PKPB mulai pukul 12.01 pagi, 13 Oktober hingga 26 Okt, manakala Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) akan dilaksanakan di Felda Umas, Tawau dari pukul 12.01 pagi, 13 Okt hingga 26 Okt.

PKPB pula akan dikuatkuasakan untuk seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat mulai pukul 12.01 pagi pada 14 Oktober hingga 27 Oktober.

– BERNAMA


Pengarang :