Anggota pasukan keselamatan bertugas membuat kawalan pada laluan masuk dan keluar di Penjara Pokok Sena pada 12 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ismail Sabri: Empat penjara di Selangor dikenakan PKPD

SHAH ALAM, 22 OKT: Empat penjara di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok sehingga 4 November.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia membabitkan Penjara Kajang, Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional di Puncak Alam.

Jelasnnya, keputusan itu dilakukan berikutan risiko yang tinggi berlaku jangkitan Covid-19 di penjara.

“Pada peringkat awal, kes ini berlaku Penjara Tawau, Sabah namun ia akhirnya merebak dan menjangkiti warden penjara yang keluar masuk penjara.

“Disebabkan itulah kita melaksanakan perintah ketat dengan melakukan PKPD di penjara. Ahli keluarga banduan tidak dibenarkan melawat dalam tempoh PKPD dilaksanakan itu nanti,” katanya dalam sidang media hari ini.

Selain itu, turut dikenakan PKPD bermula esok ialah lima penjara di zon utara membabitkan Pusat Koreksional Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Penjara Tapah.

Sebelum ini kerajaan turut mengumumkan PKPD di Penjara Alor Setar, Penjara Pokok Sena, Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai di Pulau Pinang.


Pengarang :