Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memakai pakaian pelindung diri ketika berada di pintu masuk Penjara Reman Pulau Pinang ketika tinjauan pada 7 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jabatan Penjara diminta bentang SOP baharu elak penularan virus

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Jabatan Penjara Malaysia diminta membentangkan tatacara operasi piawai (SOP) yang baharu, bagi membendung penularan kes Covid-19 dalam kalangan tahanan di penjara-penjara di negara ini, kata Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini, berikutan penjara dan pusat tahanan menyumbang sebahagian besar kes positif Covid-19 kebelakangan ini.

“SOP lama sudah tidak boleh diguna pakai untuk membawa tahanan ke mahkamah untuk dituduh. Mereka perlu bawa tahanan secara fizikal, mereka mesti dipakaikan gari, ini SOP lama.

“Begitu juga dalam penjara, kedudukan agak rapat, ia SOP lama yang menjadi antara punca berlaku kes positif Covid-19 dalam penjara, ia dapat dielak jika ada SOP yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media secara maya di kediamannya menerusi Facebook rasmi Kementerian Pertahanan hari ini.

Semalam, daripada 691 kes positif Covid-19 yang direkodkan iaitu jumlah tertinggi dalam sehari sehingga ini, sebanyak 394 kes melibatkan tahanan penjara di Kedah dan tujuh kes lagi dari pusat tahanan perlindungan di Taiping, Perak.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 357 individu yang didapati ingkar arahan PKPP, dengan 320 individu dikenakan kompaun, 35 direman dan dua dijamin.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka (167), penjarakan fizikal (34), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (123), gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah (23), keluar rumah di kawasan PKP Bersyarat tanpa kebenaran (5) dan langgar perintah kuarantin (5).

Menerusi Op Benteng bagi mengawal sempadan negara, seramai 38 pendatang tanpa izin dan dua tekong serta empat penyeludup ditahan, manakala lapan kenderaan berat dirampas.

-BERNAMA

 


Pengarang :