ADN Rawang Chua Wei Kiat (tiga dari kanan) bersama wanita dan ibu tunggal yang mengusahakan jahitan set peralatan perlindungan diri (PPE) kepada petugas hadapan di Pusat Komuniti Parlimen Selayang pada 23 Oktober 2020. Foto Chua Wei Kiat
ADNSELANGOR

Jahit PPE, wanita dan ibu tunggal raih pendapatan cecah RM120 sehari

SHAH ALAM, 24 OKT: Wanita dan ibu tunggal sekitar Rawang yang mengusahakan pekerjaan jahitan set peralatan perlindungan diri (PPE) kepada petugas hadapan mampu menjana pendapatan harian antara RM90 hingga RM120 sehari.

Ahli Dewan Negerinya Chua Wei Kiat berkata pulangan itu berdasarkan keupayaan menyiapkan kira-kira 15 hingga 20 jahitan sehari dengan memperoleh RM6 bagi setiap PPE dihasilkan.

Menurutnya projek jahitan bermula awal bulan lalu membabitkan kerjasama ahli parlimen Selayang termasuk badan bukan kerajaan (NGO) Mercy dan Pertubuhan Srikandi Rawang.

“Kita mengambil inisiatif ini untuk membantu ekonomi rakyat terutama wanita dan ibu tunggal yang hilang pendapatan susulan pandemik Covid-19.

“Jahitan PPE fasa pertama juga sudah dihantar ke Sabah untuk kegunaan petugas hadapan di sana,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak enam mesin jahit disediakan di Pusat Komuniti Parlimen Selayang yang diwujudkan akhir tahun lalu menerusi peruntukan ahli parlimen tersebut.

“Selain mesin jahit, pusat komuniti dilengkapi dapur dan sistem siar raya malah program wanita boleh dijalankan di pusat ini seperti kelas memasak, menjahit dan nyanyian,” katanya.


Pengarang :