AGAMAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais anjur Program Selangor Berselawat 28 Okt, pengisian rohani

SHAH ALAM, 24 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mengadakan Program Selangor Berselawat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam secara langsung pada 28 Oktober ini.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata program sempena sambutan Maulidur Rasul 1442H Peringkat Negeri Selangor itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, solat hajat, berselawat, bermunajat dan ceramah agama.

“Program Selangor Berselawat juga akan diadakan serentak di seluruh masjid dan surau di Selangor. Sehubungan dengan itu, pentadbir masjid dan surau dengan jumlah terhad ditentukan di zon hijau (daerah Sabak Bernam), daerah-daerah di zon kuning dan zon merah serta semua umat Islam di kediaman diminta melaksanakan solat Maghrib tepat pada waktunya, diikuti dengan solat hajat bersama jemaah dan ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan bacaan selawat dan munajat yang dipimpin Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bermula pada jam 7.30 malam serta diteruskan dengan ceramah agama khas sempena Maulidur Rasul.

Mohd Shahzihan berkata ceramah khas Maulidur Rasul boleh diikuti secara langsung melalui Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah manakala teks selawat dan munajat turut disediakan dan boleh di muat turun di www.jais.gov.my atau emasjid.jais.gov.my

“Semoga program ini akan terus menyemai rasa kecintaan umat Islam kepada Baginda Rasulullah S.A.W. serta mengundang rahmat dan pertolongan Allah S.W.T kepada semua hamba-hamba-Nya dengan mengangkat musibah wabak yang sedang melanda negara dan negeri ini,” katanya.


Pengarang :