AGENSISELANGOR

Jais nikahkan 118 pasangan pengantin sebelum PKPB Klang bermula

SHAH ALAM, 9 OKT: Seramai 118 pasangan pengantin dari kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Klang dinikahkan semalam, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohd Shahzihan Ahmad berkata akad nikah dijalankan di Pejabat Agama Islam Daerah Klang bermula pagi semalam hingga 12 tengah malam.

“Jais menyediakan lima jurunikah dan proses tidak mengambil masa panjang. Hanya khutbah nikah pendek dibacakan.

“Akad nikah masih ditetapkan di masjid sahaja. Apabila aktiviti di masjid ditangguhkan susulan PKPB, maka urusan pernikahan dilakukan di pejabat agama daerah,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohd Shahzihan berkata semua pasangan itu sepatutnya bernikah dalam tempoh dua minggu sebelum PKPB diumumkan kelmarin.

“Pejabat agama daerah diminta untuk bersedia berdepan situasi ini selepas kerajaan memutuskan PKPB di Klang. Kita memang jangka ramai pasangan akan datang bernikah,” katanya.

 

Gambar yang tular di media sosial milik jurufoto perkahwinan, Sheik Ameer Haziq mengenai kehadiran ramai pasangan pengantin di pejabat agama Klang pada 8 Sept 2020.

 

Semalam, tular di media sosial gambar milik seorang jurufoto perkahwinan, Sheik Ameer Haziq mengenai kehadiran ramai pasangan pengantin di pejabat agama Klang.

Bermula hari ini hingga 23 Oktober, sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang terlibat PKPB susulan peningkatan kes Covid-19.

Semua pernikahan berlangsung sebelum pengumuman menteri kanan (keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan majlis perkahwinan di kawasan yang dikenakan PKPB boleh diteruskan.

 

 


Pengarang :