Orang ramai memasuki masjid di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 3 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jais pantau 2,450 masjid, surau pastikan patuh SOP

SHAH ALAM, 15 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memantau semua 2,450 masjid dan surau negeri ini bagi memastikan tatacara operasi piawaian (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata kakitangan setiap daerah digerakkan ke semua kawasan, sama seperti ketika perintah berkenaan dilaksanakan pada Mei lalu.

“Dalam masa sama kakitangan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) serta polis turut memantau kepatuhan orang ramai terhadap SOP mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Setakat hari pertama (PKPB) semalam, semuanya berjalan lancar. Semua jemaah faham keadaan ini dan patuh kepada ketetapan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Selain menangguhkan solat Jumaat dan fardu, Jais turut menangguhkan aktiviti mengimarahkan masjid seperti kuliah Maghrib, Subuh dan Dhuha.

Azan boleh dilaungkan setiap waktu manakala solat fardu berjemaah dilaksanakan dengan jemaah tidak lebih tiga orang.


Pengarang :