Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berucap ketika Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma, Ampang pada 26 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jangan perjudi rakyat kerana takut hilang kuasa, KEADILAN kritik PM

SHAH ALAM, 24 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengingatkan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak memperjudikan nasib rakyat hanya kerana takut kehilangan kuasa berikutan ada ura-ura darurat mahu diisyitihar.

Ketua penerangannya mengkritik sikap ‘bacul’ pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggunakan darurat bagi mengelakkan kerajaan tumbang secara sah dan demokratik.

Katanya darurat akan menyebabkan Parlimen digantung dan sebarang usul dijadualkan pada persidangan bermula 2 November ini tidak berlaku, termasuklah usul undi tidak percaya yang perlu dihadapi Muhyiddin.

“Bahkan sekiranya kerajaan PN kalah dalam sebarang usul yang melibatkan undian, maka besar kemungkinan PN akan tumbang dan Perdana Menteri baru boleh dilantik.

“Apakah ini matlamat sebenar darurat yang dicadangkan PN? Darurat bagi mengelak kerajaan PN daripada gagal dalam sebarang undian untuk meluluskan apa jua usul di Parlimen?” kata Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan jika darurat dilaksanakan ia akan menyebabkan pelabur asing meninggalkan Malaysia dan pertumbuhan ekonomi dijangka meleset seterusnya mengakibatkan pembuangan pekerjaan besar-besaran apabila industri muflis atau mengecilkan operasi.

Katanya pemerintahan sedemikian tidak menjadikan pentadbiran negara lebih baik sebaliknya hanya menjadikan Malaysia setaraf Afrika yang bergolak dan ditadbir seorang ‘diktator’.

Shamsul Iskandar berkata wabak Covid-19 masih mampu dikawal melalui pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat disamping akta-akta sedia ada.


Pengarang :