AGENDANASIONAL

Jangan sebar berita palsu, hanya KKM tentukan kawasan Covid-19

SHAH ALAM, 1 OKT: Hanya Kementerian Kesihatan (KKM) boleh menentukan kawasan awam yang mempunyai kes positif Covid-19, tegas menteri kanan (kluster keselamatan).

Justeru, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dan menjadi penyebar berita palsu.

“Banyak penularan berita palsu mengenai beberapa pasar raya dan bank yang terlibat dengan kes positif wabak itu sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan kebimbangan masyarakat.

“Sila semak kesahihan berita sebelum sebar. Perlu diingatkan bahawa penyebar juga boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menjelaskan KKM tidak pernah menyiarkan nama individu positif Covid-19 memandangkan ia tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

Menurutnya mana-mana pihak yang mengeluarkan nama individu dijangkiti wabak tersebut boleh diambil tindakan undang-undang.

“Begitu juga dengan arahan kuarantin 14 hari iaitu hanya KKM boleh mengeluarkan surat pengesahan kepada setiap individu sama ada mempunyai kontak rapat dengan individu positif atau yang mempunyai gejala.

“KKM akan memaklumkan mengenai kuarantin 14 hari melalui surat yang akan dihantar kepada mereka terlibat,” tambahnya.


Pengarang :