Keadaan semasa Sungai Gong selepas mengalami insiden pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air ketika tinjauan pada 5 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jas temui sisa klinikal haiwan di Sungai Gong

RAWANG, 3 OKT: Program Gotong Royong Membina Denai@Sungai Gong di Rawang, Selangor yang dijalankan hari ini membawa kepada penemuan sisa klinikal di tebing sungai itu yang disyaki daripada sebuah klinik haiwan swasta berhampiran.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Norlin Jaafar yang menemui sisa itu semasa menyertai program berkenaan berkata sisa klinikal itu bukan sahaja mencemarkan sungai malah ia juga boleh membawa risiko penyakit berjangkit kepada masyarakat setempat.

Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, iaitu mana-mana orang yang didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

“JAS mengesyaki klinik berhampiran dengan tebing sungai ini dan saya telah mengarahkan JAS Selangor mengambil bahan bukti untuk dihantar ke Jabatan Kimia supaya siasatan dapat dilakukan dan seterusnya mengambil tindakan terhadap pesalah,” katanya kepada media semasa Program Gotong Royong Membina Denai@Sungai Gong, Rawang, Selangor di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang ketika ditemui dalam program itu berkata gotong-royong hari ini melibatkan pembinaan satu denai sepanjang 1.4km secara manual untuk mengawal pencemaran sungai.

“Gotong-royong pembinaan denai hari ini melibatkan 250 peserta di kawasan rizab sungai, akan membawa kebaikan iatu mendekatkan masyarakat kepada sumber air dan bersama memantau ekosistem sungai.

– BERNAMA


Pengarang :