ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri meninjau lokasi ban pecah susulan fenomena air pasang besar pada 20 September 2020. Foto Pusat Khidmat Rakyat Pelabuhan Klang
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

JPS Klang tambah baik struktur ban, elak banjir kilat

SHAH ALAM, 17 OKT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang akan menambah baik struktur ban sekitar Pelabuhan Klang bagi mengelakkan banjir kilat ketika fenomena air pasang besar.

Ahli Dewan Negeri kawasan itu, Azmizam Zaman Huri berkata keputusan dibuat hasil perbincangan bersama jurutera JPS Klang pagi tadi selepas membuat tinjauan di beberapa kawasan.

“Kita mahu kenal pasti punca banjir kilat. JPS juga akan tambah baik kawasan hakisan laut serta memantau pintu air bagi memastikan air laut tidak melimpah ke daratan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Azmizam berkata air pasang mencecah paras 5.7 meter pagi tadi menyebabkan air melimpah ke Taman Selat Damai dan Taman Teluk Gedung.

“Sepanjang fenomena ini kita minta semua penduduk bersedia serta peka terhadap kenaikan paras air,” katanya.

Bermula pagi tadi hingga Isnin ini, air pasang dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam antara jam 6 hingga 7.30 pagi.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.


Pengarang :