Loji Rawatan Air Sungai Semenyih. Foto ihsan Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kadar pencemaran LRA Sungai Semenyih turun

SHAH ALAM, 5 OKT: Bacaan nombor bau nilai ambang (TON) di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih turun kepada tujuh berbanding sembilan sehingga jam 3 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan bacaan di LRA Bukit Tampoi, Dengkil pula meningkat kepada 9 TON berbanding 8 TON pada jam 12.30 tengah hari.

“Berikutan ini, kedua-dua loji rawatan masih belum boleh beroperasi,” katanya dalam kenyataan.

Agensi itu turut menggalakkan pengguna untuk mengambil bantuan bekalan air di pili awam dan pusat khidmat setempat (PKS) dengan merujuk laman sesawang Air Selangor.

Selain itu, bantuan melalui lori tangki air diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara kematian.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com

Semalam, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas susulan pencemaran bau bangkai di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Berikutan itu, sebanyak 274 kawasan membabitkan 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :