AGENDANASIONAL

Kakitangan pejabat Air Selangor Kuala Langat positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Pejabat Air Selangor Wilayah Kuala Langat ditutup sementara sehingga dimaklumkan kelak susulan terdapat satu kes positif Covid-19 yang dikesan melibatkan warga kerja di bahagian kaunter pejabat berkenaan.

Menurut Air Selangor dalam kenyataan semalam, warga kerja berkenaan menjalani kuarantin sejak 22 Okt lepas dan disahkan positif pada 4.30 petang semalam.

“Justeru, Pejabat Wilayah Kuala Langat akan ditutup sementara sehingga dimaklumkan kelak. Air Selangor sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan semua tindakan bagi mencegah penyebaran pandemik Covid-19 dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, bagi mengurangkan risiko jangkitan, Air Selangor melakukan tindakan antaranya termasuk usaha pengesanan kontak rapat untuk mengesan mana-mana warga kerja dan pelawat luar yang berurusan secara terus dengan warga kerja berkenaan dari 19 Okt hingga 22 Okt lepas.

“Individu tersebut akan dihubungi dengan segera dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari serta mendapatkan bantuan perubatan (ujian saringan Covid-19).

“Pejabat Wilayah Kuala Langat juga disanitasi sepenuhnya pada 5.30 petang semalam,” menurut kenyataan itu.

Keselamatan kakitangan dan para pelanggan adalah keutamaan kami di Air Selangor dan sebarang informasi terkini akan dimaklumkan melalui saluran komunikasi rasmi Air Selangor, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :