Petugas Kesihatan Selcare membuat saringan Covid-19 kepada orang ramai yang baru pulang dari Sabah berikutan peningkatan kes wabak berkenaan di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kanak-kanak empat tahun paling muda jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 4 OKT: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menjadi individu paling muda menjalani saringan Covid-19 bersasar secara percuma di Klinik Selcare di sini hari ini.

Meskipun meronta ketakutan sewaktu petugas kesihatan memasukkan alat saringan ke dalam rongga hidung, namun Adam Rayyan Ibrahim berjaya melakukan pemeriksaan itu kurang dua minit.

Ibunya, Sri Delaila Daud, 38, berkata dia nekad membawa Rayyan bersama dua lagi anaknya Adam Farish Ibrahim, 12, dan Farah Qalesya Ibrahim, 9, menjalani ujian itu selepas kembali dari Tuaran, Sabah pada 26 September lalu.

“Ini kali pertama saya bawa anak-anak buat saringan Covid-19 sebagai langkah pencegahan wabak walaupun kami tidak mempunyai sebarang simptom sebaik pulang dari negeri terbabit.

“Semalam saya beritahu dia (Rayyan) yang saya akan membawanya bersama abang dan kakak untuk melakukan pemeriksaan ini. Rayyan hanya mengiyakan sahaja.

“Selepas lihat abang dan kakaknya selesai (jalani saringan), Rayyan nampak teruja walaupun pada awalnya keadaan sukar dikawal tetapi Alhamdulillah kerana saringan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di sini.

Pengusaha sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Sungai Buloh turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menawarkan perkhidmatan tersebut secara percuma kepada individu yang baharu pulang dari Sabah.

“Saya amat menghargai usaha Kerajaan Selangor ini yang komited memastikan keselamatan rakyatnya ketika negara diancam Covid-19,” katanya.

Kerajaan Negeri melakukan saringan bersasar secara percuma kepada rakyat Selangor membabitkan 16 klinik Selcare bermula hari ini sehingga 11 Oktober.

Individu yang mahu mendapatkan perkhidmatan itu perlu mengemukakan bukti pemastautin tetap di Selangor seperti kad pengenalan, bil air dan elektrik serta membuat janji temu sebelum ke klinik.


Pengarang :