AGENDANASIONAL

KEADILAN kesal Parlimen had bilangan media

SHAH ALAM, 16 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kesal terhadap arahan mengehadkan bilangan media bagi membuat liputan pembentangan Belanjawan 2021 di sidang Parlimen.

Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil berkata sesi tersebut sebaliknya memerlukan lebih ramai petugas bagi menyaksikan perbincangan dan perbahasan penggunaan wang ringgit rakyat pada tahun akan datang.

“Sekiranya benar Parlimen berpandangan ruang bagi petugas media tidak mencukupi dan itu antara sebab utama menghalang lebih banyak media hadir, saya percaya terdapat banyak ruang boleh diubah suai menjadi tempat mereka.

“Sebagai contoh, sekiranya tempat media di aras bawah tidak mencukupi untuk memuatkan semua petugas, bilik jawatankuasa di bangunan sementara, ruang di Dewan Rakyat sementara, malah bangunan pejabat ahli-ahli parlimen boleh diubah suai dengan mudah untuk membolehkan lebih ramai petugas media hadir tanpa melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

“Malah, jika perlu khemah khas seperti yang biasa didirikan untuk VIP (kenamaan) sewaktu program-program kementerian di Parlimen boleh didirikan untuk menempatkan petugas media,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata arahan tersebut boleh menimbulkan salah faham dengan membayangkan institusi itu mengekang kebebasan bersuara kerana membenarkan terbitan media rasmi sahaja.

Beliau turut meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mempertimbang semula arahan itu demi kebebasan bersuara dan kemuliaan dewan.

Hari ini, Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen mengeluarkan surat kepada ketua pengarang media memaklumkan hanya 15 petugas dibenarkan hadir di Parlimen untuk membuat liputan sepanjang sidang mulai 2 November hingga 23 Disember depan.


Pengarang :