Jalan Raja Laut yang terletak di Kuala Lumpur adalah menghargai pelbagai sumbangan besar Raja Laut yang dilahirkan pada 1850 dan merupakan putera kedua Sultan Selangor ke-3, Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah yang bertanggungjawab antaranya menubuhkan sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kekalkan nama jalan, tanda kenang jasa Kesultanan Selangor

SHAH ALAM, 7 OKT: Tindakan mengekalkan nama Jalan Raja Laut dianggap sebagai tanda mengenang jasa Duli Yang Maha Mulia, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, kata Pejabat Istana Selangor.

Pejabat urustadbir Sultan Selangor itu dalam kenyataan berkata, pada 1974, Sultan Salahuddin telah berkorban menyerahkan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan ibu negara Malaysia.

Jelasnya, pada ketika itu, Kuala Lumpur bersetuju agar sejarah berkaitan Selangor tidak dipadamkan sebagai mengenang budi dan jasa Baginda.

“Justeru, terdapat beberapa lagi nama jalan dan monumen di ibu negara yang diabadikan dengan nama-nama bersejarah dari Selangor, termasuk Jalan Raja Laut.

Putera kedua Sultan Selangor ketiga, Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah dikenali sebagai Raja Laut. Foto: Facebook Selangor Royal Office

“Terima kasih diucapkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak terlibat yang tidak jadi seperti kacang lupakan kulit, dan memutuskan untuk mengekalkan nama Jalan Raja Laut dalam usaha memelihara nilai-nilai sejarah Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Pejabat Istana Selangor turut memaklumkan, nama Raja Laut yang diabadikan pada jalan raya di Kuala Lumpur adalah putera kedua Sultan Selangor ketiga, Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah.

Katanya, Almarhum mendapat gelaran ‘Laut’ kerana dikatakan dilahirkan ketika bondanya berada di perairan sekitar Lukut.

“Almarhum tersohor sebagai ketua masyarakat Melayu di Kuala Lumpur pada tahun 1880 dan antara individu yang telah menyelesaikan banyak masalah yang timbul pada ketika itu.

“Almarhum pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri Selangor dan bertindak sebagai hakim dan penghulu di Kuala Lumpur. Pada 1890 pula menjadi pengasas kepada penubuhan Kuala Lumpur Sanitary Board,” kata kenyataan itu lagi.

Raja Laut juga bertanggungjawab menubuhkan Sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur dan pada 1898 dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor.

Bagaimanapun, Almarhum tetap menggunakan gelaran ‘Raja Muda Laut’ sehingga tahun 1903.

“Sebagai tanda penghargaan dan mengingati jasa dan bakti Almarhum, nama Raja Laut diabadikan sebagai nama sebatang jalan di Kuala Lumpur yang bersambung dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman,” katanya.

Pada 27 September lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memaklumkan nama Jalan Raja Laut 1 dikenali sebagai Jalan Palestin.

Namun keesokannya, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menggesa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan mencari lokasi lain untuk dinamakan Jalan Palestin bagi mengantikan nama Jalan Raja Laut.

Katanya, nama Raja Laut membawa sejarah tersendiri kepada bangsa Melayu.


Pengarang :