Petugas Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang dan anggota bomba yang terlibat dalam proses disinfeksi di kawasan tumpuan umum bagi mencegah penularan Covid-19 pada 24 Oktober 2020. Foto MPK
PBTSELANGOR

Kekang Covid-19, lebih 30 lokasi dinyahkuman di Klang

SHAH ALAM, 25 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan operasi nyahkuman di 33 lokasi dalam usaha mengekang penularan Covid-19 sejak 29 September hingga 21 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan Azmi Muji berkata proses sanitasi awam melibatkan bangunan kerajaan, sekolah, premis perumahan termasuk beberapa kawasan tumpuan yang lain.

“Sebanyak 1,920 liter sodium hypochlorite digunakan dalam melakukan pembersihan nyahkuman dan bahan ini seperti disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya menerusi laporan semalam.

Beliau juga berkata pihaknya menjalankan beberapa siri taklimat dan demonstrasi kaedah sanitasi awam di premis kediaman serta perniagaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Menurutnya, aktiviti tersebut dikhususkan kepada ketua kampung, agensi kerajaan, kontraktor pembersihan dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) selain pemilik premis perniagaan serta institut pendidikan.

“Kita mahu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai Covid-19 dan cara mencegah serta mengawal penyakit ini sekali gus memupuk rasa tanggungjawab untuk bersama membantu membanterasnya daripada terus merebak.”


Pengarang :