Perlawanan persahabatan antara pasukan sepak takraw Lelaki Sukma Selangor melawan tentera di Kompleks Sukan PKNS. Foto: MSN Selangor
AGENDANASIONAL

Kementerian arah kemudahan sukan dan rekreasi ditutup

SHAH ALAM, 13 OKT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengarahkan semua kemudahan sukan dan rekreasi ditutup sementara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok.

KBS berkata arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membabitkan Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya perlu dipatuhi bagi membantu memutuskan rantaian Covid-19.

“Penggiat sukan dan rekreasi termasuk pemilik dan operator fasiliti seperti padang bola sepak, kompleks sukan, dewan badminton, gimnasium, kolam renang, pusat rekreasi dan sebagainya dalam negeri dan kawasan PKPB perlu mematuhi arahan yang ditetapkan MKN untuk menangguh serta menjadualkan semula semua aktiviti sukan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian menjelaskan program latihan pusat atlet sedia ada di bawah kendalian Majlis Sukan Negera (MSN) dan Majlis Sukan Negeri yang terlibat PKPB boleh diteruskan secara tertutup serta terkawal seperti dilaksanakan di Kompleks MSN Bukit Jalil dan Keramat, Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara serta Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan.

Berdasarkan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan MKN, aktiviti sukan tidak bersentuhan dan dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang serta di kawasan terbuka dibenarkan dalam tempoh PKPB.

Antara aktiviti termasuklah e-sukan, berjalan, jogging, berbasikal dan senam robik kendiri.

Bagaimanapun aktiviti di kawasan tertutup, kolam renang, bersentuhan fizikal, perlawanan sukan berpasukan dan penganjuran pertandingan tidak dibenarkan.


Pengarang :