Sepasukan pihak berkuasa termasuk petugas barisan hadapan iaitu polis, APM dan KKM mengesan penghuni di kawasan PKPD di Jalan Othman bagi menjalani ujian saringan Covid-19 pada 14 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan Negeri teliti pelaksanaan PKPD di Kajang, Banting

SHAH ALAM, 28 OKT: Kerajaan Negeri meneliti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Sungai Emas, Banting dan Plaza Hentian Kajang yang bermula hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau akan mengemukakan cadangan yang sesuai dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara dalam tempoh 14 hari pelaksanaan bagi memastikan penularan Covid-19 dapat ditangani.

“Saya akan meneliti bagaimana PKPD pentadbiran atau setempat yang dilaksanakan di Sungai Emas, dalam mukim Tanjung 12, Kuala Langat dan juga Hentian Kajang (Hulu Langat) kerana di sanalah tempat paling banyak yang menyebabkan (dua) daerah itu merah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD akan dikuatkuasakan di Flat Sungai Emas dan Plaza Hentian Kajang sehingga 10 November.

Flat Sungai Emas membabitkan 1,300 penduduk manakala Plaza Hentian Kajang pula membabitkan 7,500 penduduk.

Kes Covid-19 di Selangor kekal tiga angka dengan 126 kes direkodkan semalam dengan 59 daripadanya dikesan menerusi saringan kluster, 42 kes saringan kontak rapat, 24 kes saringan lapangan dan satu kes import.


Pengarang :