AGENDANASIONALSELANGOR

Kerja baik pulih paip pecah selesai kurang 24 jam

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerja pembaikan paip pecah di kawasan pembinaan Worldwide, Seksyen U11 di sini siap sepenuhnya jam 9 malam ini, kurang 24 jam selepas insiden berlaku.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pembaikan yang dibuat sejurus insiden yang dikesan berlaku sebelum jam 12 tengah hari, siap sejam lebih awal dari masa yang dijadualkan.

“Bekalan air mula disalurkan dan pemulihan ke 59 kawasan terjejas adalah secara berperingkat-peringkat mengikut jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

“Bekalan air di kawasan terlibat dijangka pulih sepenuhnya pada jam 10 pagi 17 Oktober (esok),” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Hari ini, pengguna di Shah Alam, Klang dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan paip pecah berpunca daripada tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga menyebabkan tekanan berlebihan di kawasan pembinaan itu.

Terdahulu, Elina berkata kerja pembaikan giat dijalankan dan dijangka siap pada jam 10 malam ini, namun ia siap pada jam 9 malam.

Perkembangan kerja pembaikan akan dimaklum dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi Air Selangor di Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar dan laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :