Petugas KKM Wilayah Persekutuan Labuan membuat ujian calitan Covid-19 kepada penumpang yang tiba dari Sabah di Hospital Labuan pada 28 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes baharu Covid-19 di Malaysia cecah 300

PUTRAJAYA, 3 OKT: Sebanyak 317 kes baharu Covid-19, yang melibatkan penularan dalam negara dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan ia jumlah kes harian tertinggi direkodkan Malaysia selepas semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata satu kematian akibat Covid-19 di Tawau, Sabah turut dilaporkan, selain tiga kluster baharu iaitu dua kluster – kluster Bah Lunas dan kluster Bah Rose – di Kedah dan satu kluster Jelok di Selangor.

Beliau berkata kesemua kes baharu itu melibatkan 303 kes warganegara dan 14 bukan warganegara, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia kini 12,088 kes.

“Daripada 317 kes, sebanyak 37 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah. Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah 176 kes,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia kini adalah 137 kes.

Katanya kes kematian ke-137 (iaitu kes ke-10939) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 57 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia.

“Kes mula mengalami gejala batuk, kurang selera makan, dan demam sejak 10 September. Pada 24 September kes mengalami sesak nafas dan telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Semporna yang kemudian dirujuk ke Hospital Tawau pada hari yang sama.

“Kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan Covid-19 dikesan positif pada 28 September. Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 2 Oktober pukul 11.44 malam,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 29 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Memperincikan pecahan kes hari ini, beliau berkata Sabah menjadi negeri yang merekodkan kes baharu tertinggi dengan 155 membabitkan 100 kes saringan bergejala, iaitu 96 warganegara dan empat bukan warganegara; 5 kes daripada kluster Bangau-Bangau; 10 kes daripada kluster Benteng LD; empat kes saringan komuniti; tiga kes daripada kluster Laut; dua kes daripada kluster Joo Hwa; dan satu kes daripada kluster Buang Sayang.

Kedah merekodkan 102 kes baharu dan daripada jumlah itu, 97 kes adalah daripada kluster Tembok; dua kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah); dua kes daripada kluster baharu iaitu kluster Bah Lunas; dan satu kes daripada kluster Bah Ketil.

Dr Noor Hisham berkata Selangor merekodkan 32 kes baharu iaitu 15 kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah); 12 kes daripada kluster Jalan Meru; tiga kes daripada kluster baharu iaitu kluster Jelok; dan dua kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 iaitu kes ke-11147 dan kes ke-11047.

Terengganu merekodkan sembilan kes baharu, Johor empat kes, Sarawak tiga kes, Negeri Sembilan satu kes serta masing-masing Kelantan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dua kes.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan empat kes baharu iaitu dua kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah); satu kes daripada kluster Jalan Meru; dan satu kes daripada kluster baharu iaitu kluster Jelok,” katanya.

Kes baharu Covid-19 di Pulau Pinang sebanyak tiga kes iaitu dua kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) dan satu kes daripada kluster baharu iaitu kluster Bah Rose.

– BERNAMA


Pengarang :