Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 27 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes Covid-19 di Selangor kekal tiga angka

SHAH ALAM, 27 OKT: Kes Covid-19 di Selangor masih kekal tiga angka dengan 126 kes direkodkan hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 59 kes dikesan menerusi saringan kluster, 42 kes saringan kontak rapat, 24 kes saringan lapangan dan satu kes import.

“Secara keseluruhan di seluruh negara, Sabah catat 410 kes, Negeri Sembilan (155), Labuan (76), Sarawak (16), Pulau Pinang (13), Perak dan Kuala Lumpur (masing-masing 11).

“Negeri lain Johor (lapan), Kedah dan Terengganu (masing-masing empat) serta Putrajaya (satu),” katanya pada sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Jalan Apas di Selangor ditamatkan hari ini selepas tiada kes baharu direkodkan selama 28 hari.

“Kluster ini melibatkan sembilan kes positif dan tiada kematian direkodkan sejak kluster dikesan,” katanya.

Kluster Jalan Apas adalah kluster pertama dikesan di negeri ini pada 28 September.

Pada 20 Oktober Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 26 kluster dikesan dalam tempoh tiga minggu di Selangor.

Semalam Selangor merekodkan angka harian Covid-19 tertinggi dengan 176 kes.


Pengarang :