Penjawat awam mengimbas kod QR menggunakan aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) di Bangunan SUK Shah Alam pada 14 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ketua jabatan boleh tetapkan kaedah pantau pegawai semasa PKPB – KPPA

PUTRAJAYA, 25 OKT: Ketua jabatan boleh menetapkan kaedah pemantauan masing-masing dalam memastikan serta menyemak keberadaan pegawai di pejabat, rumah atau lokasi yang diarahkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata pegawai yang diarahkan bekerja dari rumah (BDR) mestilah mematuhi arahan peraturan BDR dan tindakan tataterbit boleh diambil jika didapati melanggar sebarang ketetapan kerana ingkar perintah.

Mereka yang diarahkan atau dibenarkan untuk BDR perlu sentiasa berada di rumah dalam tempoh waktu bekerja yang ditetapkan oleh kerajaan; sentiasa bersedia sekiranya diarah oleh ketua jabatan untuk hadir ke pejabat atau lokasi lain; dan memastikan sentiasa boleh dihubungi dalam tempoh waktu bekerja, katanya.

“Pegawai yang diarahkan BDR dan didapati melanggar ketetapan yang dinyatakan, ketua jabatan boleh mengambil tindakan tatatertib ke atas mereka kerana ingkar perintah selaras dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993],” katanya dalam surat edaran peringatan mengenai pematuhan peraturan semasa BDR, hari ini.

Beliau juga menegaskan pegawai yang melanggar peraturan atau undang-undang dan dikenakan hukuman oleh mahkamah atau dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tindakan tatatertib boleh juga diambil ke atas mereka kerana mencemarkan nama perkhidmatan awam.

Satu surat edaran berhubung Arahan Kehadiran Bertugas Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Selangor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan Semasa PKPB dikeluarkan pada 21 Oktober, yang bertujuan mendukung usaha kerajaan membendung penularan wabak Covid-19 dengan memastikan pergerakan yang minimum di kawasan-kawasan PKPB.

Mohd Khairul Adib berkata surat edaran pada 21 Oktober itu menyatakan bahawa kehadiran sebilangan pegawai perkhidmatan awam persekutuan ke pejabat adalah pada tahap yang dikawal oleh ketua jabatan masing-masing bagi memastikan perkhidmatan asas kementerian atau agensi tidak terjejas dan berterusan dapat dicapai oleh pelanggan.

Mohd Khairul Adib berkata ketua jabatan hendaklah memastikan semua pegawai sama ada yang bertugas di pejabat ataupun bertugas secara BDR mempunyai tugasan yang seimbang seperti mana lazim.

“Semua tugasan yang diberi perlu mempunyai output atau keperluan pencapaian yang jelas untuk memudahkan urusan pemantauan,” katanya.

Beliau berkata arahan itu juga dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan yang dikenakan PKPB sehingga tamat tempoh PKPB, tertakluk kepada mana-mana arahan yang akan diumumkan oleh kerajaan.

-BERNAMA

 


Pengarang :