Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada 8 Oktober 2020. Grafik: Facebook Jakim
AGENDANASIONAL

Ketua Pengarah Jakim meninggal dunia, kebumi di Kuang

SHAH ALAM, 8 OKT: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Unit Komunikasi Korporat Jakim dalam kenyataan berkata, Allahyarham Paimuzi, 59, meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru.

“Jenazah akan dibawa pulang ke rumah beliau di Kuang, Selangor untuk urusan pengebumian pada petang ini.

“Semoga roh al-marhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman. Al-fatihah,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan dimaklumkan allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuang.

“Tentatif solat Jenazah dijangka selepas asar di Masjid Kuang kerana menunggu keluarga dari Terengganu.

“Kepada rakan-rakan dan kenalan yang ingin ziarah dan solat jenazah boleh tunggu di Masjid Kuang dan patuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Semalam, Jakim dalam kenyataan media berkata Paimuzi bebas daripada Covid-19.

Menurut Jakim, Paimuzi menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 pada 6 Oktober lalu di Hospital Sungai Buloh dan keputusannya negatif.


Pengarang :