Dato’ Seri Amirudin Shari melawat mesin membuat sarung tangan di Kilang Hartalega NCG, Sepang pada 24 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Keuntungan bersih Hartalega melonjak kepada RM544.96 juta

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Keuntungan bersih Hartalega Holdings Bhd melonjak kepada RM544.96 juta pada suku kedua berakhir 30 September, 2020 berbanding RM103.87 juta pada suku kedua 2019.

Perolehan melambung sebanyak 89.7 peratus kepada RM1.35 bilion berbanding RM709.42 juta sebelumnya, disokong oleh jumlah jualan yang tinggi dalam tempoh kajian, kata pengeluar sarung tangan nitril terbesar dunia itu.

“Di pasaran tempatan, permintaan untuk bekalan perubatan seperti sarung tangan kekal kukuh berikutan pandemik Covid-19.

“Dengan kes berterusan meningkat di Amerika Syarikat, India, Amerika Latin dan negara-negara lain, permintaan untuk sarung tangan dijangka berkembang dalam tahun-tahun mendatang,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hartalega kekal yakin dengan prospek jangka panjang, dibantu oleh permintaan yang kian meningkat untuk sarung tangan getah serta rancangan pengembangan syarikat.

Unjuran pertumbuhan untuk permintaan secara keseluruhan akan mengatasi bekalan untuk beberapa tahun akan datang, katanya.

Seiring dengan permintaan sarung tangan getah yang kian meningkat seluruh dunia, kumpulan akan meneruskan dengan rancangan pengembangan kapasitinya menerusi Komplek Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC).

Setakat ini, kesemua 12 talian pengeluaran di Kilang 6 kemudahan NGC beroperasi sepenuhnya.

Kilang 7, yang menampung keperluan produk khusus, dijangka memulakan operasi pada suku keempat 2020 dan akan mempunyai kapasiti tahunan 2.7 bilion keping, kata kumpulan itu.

“Dengan pelaksanaan Kilang 7 secara progresif, kapasiti tahunan kumpulan dijangka meningkat daripada 41 bilion pada masa ini kepada 44 bilion keping menjelang tahun kewangan 2022,” tambahnya.

-BERNAMA


Pengarang :