Petugas Kementerian Kesihatan melakukan saringan Covid-19 kepada penumpang dari Sabah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 28 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM kesan dua lagi kluster baharu di Selangor

SHAH ALAM, 2 OKT: Dua kluster baharu dikesan di Selangor hari ini membabitkan saringan individu yang pulang dari Sabah, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tersebut dirujuk sebagai Kluster Seri Setia di Gombak dan Kluster Seri Anggerik di Hulu Selangor.

“Kluster Seri Setia melibatkan lelaki warganegara berusia 36 tahun dan mempunyai sejarah ke Semporna, Sabah dari 16 hingga 20 September lalu. Individu berkenaan bergejala sejak 21 September dan dikesan positif pada 27 September.

“Sementara Kluster Seri Anggerik pula membabitkan individu dengan sejarah perjalanan ke Sabah pada 9 hingga 18 September lalu, dia mula bergejala pada 25 September dan positif pada 26 September,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata seramai 23 individu disaring bagi Kluster Seri Setia dengan empat daripadanya positif, 14 negatif dan lima masih menunggu keputusan.

Bagi Kluster Seri Anggerik, beliau berkata seramai 67 kontak rapat disaring dengan 14 positif, 15 negatif dan 38 masih menunggu keputusan.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengenal pasti Kluster Jalan Meru di Klang yang mencatatkan lima lagi kes baharu Covid-19 hari ini dengan keseluruhan sembilan kes.

 

 


Pengarang :