Orang ramai menggunakan pelitup muka di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM kesan enam lagi kluster baharu

SHAH ALAM, 12 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan enam kkuster baharu hari ini dengan dua daripadanya di Kuala Lumpur.

Ketua pengarah kesihatan berkata dua kluster baharu di wilayah itu ialah kluster Baiduri selepas kes indeks 14,312 dikesan positif Covid-19 hasil saringan prapembedahan manakala kluster Bah Perdana membabitkan individu kes 11,305 yang pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah.

“Bagi Kluster Baiduri membabitkan daerah Hulu Langat Selangor dan daerah Cheras, sebanyak 17 kontak rapat dikesan positif. Sejumlah 39 individu disaring dengan 18 orang dikesan positif, 12 negatif dan sembilan yang lain masih menunggu keputusan.

“Untuk kluster Bah Perdana, 22 individu disaring dengan sembilan orang dikesan positif Covid-19 sementara 13 yang lain masih menunggu keputusan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media secara maya hari ini.

Beliau menjelaskan empat kluster lain pula dikesan di Selangor, Johor, Sabah dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Di Selangor, kluster Bah Tropicana dikesan di daerah Petaling dan hasil saringan terhadap 147 mendapati 14 kes positif, 105 individu negatif manakala 28 masih menunggu keputusan.

Tambahnya, kluster Kolong dikesan di daerah Keningau Sabah hasil saringan komuniti pada 7 Oktober lalu dan hasil saringan terhadap 92 individu mendapati lapan kes positif, 81 negatif manakala tiga individu masih menunggu keputusan.

“Kluster Rinting di Johor pula melibatkan daerah Melaka Tengah di Melaka dan Johor Bahru menerusi hasil saringan masuk kerja.

“Sejumlah 162 individu disaring dengan lapan kes positif, 97 negatif manakala 57 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, Kluster Bah Kasturi di Wilayah Persekutuan Putrajaya pula melibatkaan beberapa daerah dan negeri iaitu Seremban, Negeri Sembilan, Cheras dan Putrajaya manakala Klang, Hulu Langat, Gombak serta Hulu Langat di Selangor.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks 12,553 dikesan positif hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah dan dimasukkan ke Hospital Tunku Jaafar, Negeri Sembilan.

Menurutnya, 17 individu lain berjaya dikesan positif hasil saringan kontak rapat.

“Kes indeks kluster ini (kes ke-12,553) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan pulang dari Sabah pada 24 Sept dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan.

“Saringan kontak rapat telah mengesan 17 lagi kes positif Covid-19 dan sehingga kini 10 individu masih menunggu keputusan,” katanya.


Pengarang :