Dua anggota polis bantuan memasang pagar penghadang di Universiti Utara Malaysia Sintok, Kedah yang ditutup serta-merta selepas menerima arahan Majlis Keselamatan Negara di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 5 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM kesan kluster baharu Covid-19 di Kedah, Terengganu

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan terdapat pertambahan tiga kluster baharu Covid-19 di dalam negara iaitu Kluster Bah Sintok dan Kluster Jeram di Kedah serta Kluster Bah Tanjung di Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Bah Sintok di Kubang Pasu, Kedah melibatkan kes indeks kluster, kes ke-12072 merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 23 tahun yang baru pulang dari Sabah pada 20 September lepas.

“Kes mempunyai gejala demam, selesema dan sakit kepala sejak 22 September. Saringan Covid-19 dikesan positif pada 2 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 11 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti. Kesemua kes yang dikesan positif merupakan warganegara Malaysia dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan pandemik Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 165 individu telah disaring dengan 12 dikesan positif, 61 negatif manakala 92 individu masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Kluster Jeram juga di Kubang Pasu, Kedah melibatkan kes indeks kluster, kes ke-11211 merupakan seorang pesakit wanita warga tempatan berumur 31 tahun.

“Kes bergejala batuk dan sakit kepala sejak 25 September dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tunjang pada 28 September dan saringan Covid-19 dijalankan di sana. Kes dikesan positif pada 29 September dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan tiga lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti melibatkan petugas kesihatan. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk rawatan,” katanya.

Katanya, sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 65 individu telah disaring dan daripada jumlah itu empat dikesan positif, 50 negatif dan 11 individu masih menunggu keputusan.

“Proses pembersihan dan nyah kuman di fasiliti kesihatan berkaitan telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Kedah,” katanya.

Selain itu, Kluster Bah Tanjung di Kuala Nerus, Terengganu melibatkan kes indeks kluster, kes ke-11477 merupakan seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 46 tahun.

“Kes mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah dari 10 sehingga 27 September. Kes bergejala sakit tekak dan demam sejak 28 September. Kes dikesan positif Covid-19 pada 30 September dan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan enam lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia, mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang untuk rawatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 245 individu telah disaring dengan tujuh individu dikesan positif, 113 negatif dan 125 masih menunggu keputusan.

Bagaimanapun, punca jangkitan ketiga-tiga kluster baharu itu masih dalam siasatan.

-BERNAMA


Pengarang :