EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han bercakap kepada media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kempen MyDebit bersama Smart Selangor di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 2 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kluster Meru: Pasar pagi dan malam beroperasi seperti biasa

BANGI, 2 OKT: Perniagaan pasar pagi dan malam di Meru, Klang beroperasi seperti biasa walaupun pengesanan kluster baharu Covid-19 di kawasan tersebut, kata EXCO kerajaan tempatan.

Bagaimanapun Ng Sze Han berkata pihaknya memantau perkembangan penularan wabak termasuk mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan dan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) dari semasa ke semasa.

“Tindakan kita bergantung kepada nasihat diberikan pihak berkuasa kesihatan, jadi buat masa ini aktiviti perniagaan kedua-dua pasar tersebut di Meru masih dibenarkan.

“Namun kita mengingatkan peniaga dan pengunjung patuh tatacara operasi piawai (SOP) manakala penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau tahap pematuhan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Kempen MyDebit Bersama Smart Selangor di Smart Selangor Anjung Digital Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (tiga dari kiri) menyerahkan hadiah utama kepada pemenang sempena Majlis Penyampaian Hadiah Kempen MyDebit bersama Smart Selangor di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 2 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Semalam Kluster Meru dikesan melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang bergejala sejak 24 September.

Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan tiga lagi kes positif melibatkan warga tempatan direkodkan bagi kluster tersebut.

Pada 15 Jun, Selangor membenarkan operasi pasar pagi dan malam serta bazaria dibuka secara berperingkat dengan ditentukan PBT mengikut kesesuaian kawasan.

Sebelum ini semua pasar berkenaan di seluruh negara tidak beroperasi susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.


Pengarang :