Kenderaan yang membawa petugas Kementerian Kesihatan Malaysia memasuki Penjara Reman Pulau Pinang pada 9 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster Penjara Reman hanya libat banduan setakat ini

GEORGE TOWN, 9 OKT: Kesemua kes positif Covid-19 yang direkodkan Penjara Reman Pulau Pinang setakat ini melibatkan banduan dengan enam merupakan banduan satu sel dengan lelaki yang meninggal dunia pada 5 Okt lalu, kata Pengarahnya Mohamed Jusoh Idris.

Beliau juga berkata setakat ini tiada petugas penjara itu yang disahkan positif jangkitan tersebut.

“Bagaimanapun masih ada petugas yang belum menerima keputusan mereka, manakala banduan yang dijangkiti pula sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang.

“Kami harap tindakan pantas mengasingkan serta kuarantin mereka yang kami laksanakan sebelum ini dapat membendung penularan wabak tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya proses saringan Covid-19 dan sanitasi masih dijalankan di penjara berkenaan.

Beliau juga berkata buat masa ini operasi penjara berjalan seperti biasa, dikendalikan oleh 320 petugas.

Setakat semalam, Kluster Penjara Reman dilapor merekodkan lapan kes positif termasuk seorang, iaitu kes indeks, yang meninggal dunia pada Isnin lepas.

-BERNAMA


Pengarang :