Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22 di Bangi, pada 7 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kuis lahir lebih 24,000 graduan sejak 1995

SHAH ALAM, 2 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) berjaya melahirkan seramai 24,213 graduan sejak ditubuhkan 25 tahun lalu.

Rektornya Profesor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata kejayaan graduannya diiktiraf dalam pelbagai sektor sama ada kerajaan mahupun swasta.

“Kecemerlangan ini sekali gus meningkatkan imej Kuis sebagai sebuah institusi pengajian tinggi di bawah kelolaan Kerajaan Negeri yang terkemuka,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak ke-25 kolej itu di Pusat Konvensyen Kuis, Bangi hari ini.

Beliau berkata kolej itu turut berdepan pelbagai cabaran untuk menjadi institusi pendidikan yang menyediakan pengajian akademik berteraskan tauhid, sesuai dengan keperluan zaman.

“Usaha ini didokong pensyarah dan warga kerja yang memiliki sifat mudarris, mu`allim, muaddib, murabbi, dan mursyid. Memetik kata-kata Buya Hamka: “Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh”,” kata Dr Ab Halim lagi.

Kuis yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ehsan memulakan operasi dengan menumpang di Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jamaah, Seksyen 11 Shah Alam.


Pengarang :