AGENSISELANGOR

Kuis mohon dana anjur program gabungan akademik, TVET

SHAH ALAM, 19 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) memohon peruntukan bagi melaksana program gabungan akademik dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).

Rektornya Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata permohonan dana melalui Belanjawan Selangor 2021 bagi membiayai pelajar yang berminat menyambung pengajian dalam bidang berkenaan.

“Sebagai contoh, pelajar Diploma Syariah yang mahu mencuba perniagaan dandanan rambut untuk muslimah, mereka perlu mendapatkan latihan dan kemahiran bersesuaian.

Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri ketika ditemu bual media selepas Majlis Perasmian Penutup Program ICT Bootcamp Selangor di Kuis pada 13 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Mereka (pelajar) kemudian boleh menawarkan perkhidmatan tersebut dari rumah ke rumah sekali gus menjaga privasi seseorang muslimah,” katanya ketika dihubungi.

Dr Ab Halim menjelaskan pelajar juga mampu membuka perniagaan sendiri sebaik tamat pengajian melalui latihan dan pengalaman diperoleh daripada program tersebut.

“Mereka boleh menjana pendapatan dan tidak perlu bergantung kepada kerajaan semata-mata, malah mencipta pekerjaan kepada orang lain,” katanya lagi.

Belanjawan Selangor 2021 akan dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober.

Amirudin berkata belanjawan itu merangkumi lima tonggak utama iaitu pertanian, pelancongan dan agro pelancongan; kesihatan awam dan bandar berdaya huni; usahawan mikro, digitalisasi dan kemiskinan bandar; penciptaan kekayaan serta industri kreatif.


Pengarang :