Petugas Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat membuat ujian saringan Covid-19 kepada pelajar SK Sungai Manggis dan SMK Sungai Manggis secara pandu lalu di kedua-dua sekolah berkenaan pada 17 Oktober 2020. Foto PKD Kuala Langat
AGENDANASIONAL

Lagi lima kluster baharu dikesan, dua di Selangor

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima lagi kluster baharu hari ini melibatkan dua kluster masing-masing di Sabah dan Selangor, serta satu di Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Sakti melibatkan Daerah Lahad Datu di Sabah dengan 18 kes dikesan positif Covid-19, sementara 35 individu masih menunggu keputusan daripada sejumlah 154 individu yang disaring setakat 12 tengah hari ini.

“Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-12,995) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 5 Okt 2020. Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 17 lagi kes positif Covid-19 dan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kluster Tuguson pula menurutnya melibatkan Daerah Kota Belud, Sabah dengan kes indeks bagi kluster itu (kes ke-19,066) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Okt dan dimasukkan ke Hospital Kota Belud.

“Sehingga 29 Okt 2020, 12 tengah hari, sejumlah 146 individu disaring, dengan 18 kes dikesan positif Covid-19 (empat kes baharu) dan 128 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Di Selangor pula, Dr Noor Hisham berkata Kluster Bah Medan melibatkan Daerah Sepang dengan 20 kes dikesan positif Covid-19 (empat kes baharu) dan 32 individu masih menunggu keputusan daripada sejumlah 52 individu yang disaring setakat 12 tengah hari tadi.

“Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-12,112) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) pada 3 Okt 2020.

Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 19 lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Selain itu katanya, Kluster Taman Laut melibatkan Daerah Petaling, Selangor dengan kes indeks bagi kluster itu (kes ke-25,431) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 21 Okt dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat mengesan sebanyak lima lagi kes positif Covid-19. Sehingga 29 Okt 2020, 12 tengah hari, sejumlah 123 individu disaring di mana 18 individu dikesan negatif dan 99 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara di Negeri Sembilan, Dr Noor Hisham berkata Kluster Taman Bunga melibatkan Daerah Seremban, Kuala Pilah dan Jelebu dengan 23 kes dikesan positif Covid-19 (16 kes baharu), dan tujuh individu masih menunggu keputusan daripada sejumlah 55 individu disaring setakat 12 tengah hari ini.

“Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-27,711) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 25 Okt dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar. Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 22 lagi kes positif Covid-19,” katanya.

Lima kluster baharu itu menjadikan keseluruhan kluster ketika ini sebanyak 239 dengan 128 kluster aktif.

-BERNAMA


Pengarang :