Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Lapan suspek cemar Sungai Selangor direman tujuh hari

SHAH ALAM, 22 OKT: Lapan suspek yang dipercayai terlibat dengan insiden pencemaran Sungai Selangor direman tujuh hari mulai hari ini hingga 28 Oktober.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor berkata suspek merupakan seorang pengarah syarikat yang ditahan bersama bapanya, manakala enam lagi pekerja tempatan dan asing.

“Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Selayang, Gombak pagi tadi. Mereka (suspek) diwakili dua peguam,” kata Datuk Fadzil Ahmat dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan khianat yang mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga bekalan kepada manusia dan haiwan susut.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 19 Oktober, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang dihenti tugas susulan pencemaran bau dikesan pada awal pagi.

Berikutan itu, sebanyak 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.


Pengarang :