Petugas kesihatan melakukan persiapan bagi proses saringan Covid-19 kepada orang ramai ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih ramai petugas kesihatan ke Sabah, bantu bendung Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar dua Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) dan sembilan juru X-ray (Diagnostik) dari Semenanjung untuk ditugaskan di hospital di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua mereka telah dimobilisasi ke Sabah pada Jumaat lepas menaiki pesawat Charlie Tentera Udara Diraja Malaysia (penerbangan logistik & komunikasi TUDM).

“Mereka merupakan petugas daripada beberapa institusi dan hospital KKM iaitu Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Hospital Sultanah Nora Ismail, Hospital Sultanah Aminah, Hospital Rehabilitasi Cheras, Hospital Putrajaya, Institut Kanser Negara, Hospital Kuala Lumpur dan Institut Kanser Negara,” katanya di Facebook semalam.

Dr Noor Hisham berkata kesemua petugas barisan hadapan ini masing-masing ditugaskan ke Hospital Tawau, Hospital Semporna dan Hospital Lahad Datu dalam usaha negara membendung penularan pandemik Covid-19.

Terdahulu, seramai lima JTMP masing-masing dari Pusat Darah Negara, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pulau Pinang, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Ampang telah dimobilisasi pada 5 dan 7 Oktober lepas.

“Mereka ditempatkan di Hospital Semporna, Hospital Lahad Datu dan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (MKA KK).

“Turut sama ialah seorang Pegawai Sains (Mikrobiologi) dari Hospital Umum Sarawak yang telah dimobilisasi ke MKA KK,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :